Hakikat Kehidupan

Lucu apabila melihat kelibat manusia yang sebelum ini rapat dengan kita tiba-tiba memalingkan muka ke arah lain apabila perasan bahawa kita akan memandang ke arah mereka. Lucu apabila melihat tabiat manusia yang melarikan diri untuk mengelak daripada kelihatan bersama kita ketika kita ditimpa masalah yang melibatkan nama dan reputasi. Lucu apabila mengenangkan bilamana nama kita masyhur dijulang, orang-orang ini tiba-tiba menegur dan menyapa mesra. Lucu apabila mengenangkan peristiwa ini berlaku di salah sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai reputasi yang baik dengan para ilmuan yang seharusnya bersikap terbuka dan tidak menilai manusia melalui gegendang telinga. Ketika susah, habis kita dikutuknya dan ketika senang, ingin pula menumpang nama. Entah di mana hilangnya harga diri. Namun, beginilah aksi manusia yang mempunyai pelbagai penyakit gila dunia, jahat sangka, sombong, riak, pendendam, hasad dengki dan lain-lain. Walaupun sakitnya tidak ketara oleh mata kasar, namun krisis jiwa ini lebih ramai pesakit daripada penderita-penderita sakit fizikal yang ada di hospital.

Selama hampir 9 tahun terlantar di sebuah pulau, rupa-rupanya Tuhanku mahu aku belajar, terutamanya mengenal diri sendiri. Rupanya begitu pendidikan Tuhan yang maha Esa di dalam bala, ada rahmatnya. Sedang berlaku di hadapan mata kita kini penyakit-penyakit putus asa, kecewa, resah gelisah, penderitaan jiwa, kacau bilau fikiran, rasa rendah diri, kesunyian, kekosongan hati, rasa keseorangan, ketegangan perasaan dan berbagai-bagai bentuk sakit jiwa. Penyakit batin ini bukan sahaja menungkinkan manusia bunuh berbunuhan dan menjatuhkan orang lain tetapi juga memungkinkan kekusutan dan kucar-kacirnya sesebuah masyarakat. 1400 tahun yang lalu, kekusutan masyarakat ini telahpun berlaku dan institusi pertama yang dibangunkan untuk membersihkan hati, melembutkan dan menenangkan hati, melapangkan dada, membebaskan diri dari ikatan dunia ialah masjid iaitu dengan membesarkan Tuhan melalui sembahyang dan ibadah-ibadah lain.

Keselamatan manusia adalah berpunca daripada keselamatan hatinya bukan jasad lahirnya. Agama mengajak kita menelek hati, mengenalinya dan mengubat sakitnya. Apabila hati sudah terubat, kita akan menemui “cahaya” kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan. Apakah cara hidup yang menjadikan kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian, kesakitan, keseorangan, kematian orang yang dikasihi, kegagalan dan dengan segala bentuk ujian?  Apakah cara hidup yang mengikat hati antara suami dan isteri, anak dengan ibu bapa, pengikut dengan pemimpin, pekerja dengan majikan? Cara hidup yang mengajar kita berkasih-sayang, bertolak-ansur, pemurah, berbaik sangka dan tolong-menolong. Kalau seseorang itu lebih dari kita, ertinya Tuhan mahu menguji kita sama ada sabar dan redhakah kita dengan kekurangan yang Tuhan takdirkan. Dan kalau Tuhan lebihkan kita dari seseorang, ertinya Tuhan mahu menguji kita, bersyukurkah kita terhadap nikmat itu atau sebaliknya sombong, bongkak, dan lupa diri sebagai hamba Allah.

Kedudukan kita, jawatan, pangkat, nama yang masyhur, pengaruh dan apa sahaja ketinggian kita yang memungkinkan kita merasa “ketuanan” di dunia ini hendaklah dialatkan untuk mencari keredhaan Tuhan, berlaku adil dan ikhlas dalam pentadbiran dan membuka peluang-peluang yang banyak untuk Islam dan umatnya. Hidup di tengah-tengah gelombang nafsu ego dan rakus, hasad dengki, gila dunia, dendam dan bakhil, riak, ujub, dan satu ribu macam lagi kejahatan lahir dan batin, manusia bukan sahaja tidak dapat memberi ketenangan pada masyarakat sekitarnya, bahkan diri dan keluarga sendiri pun mereka gagal untuk memberi ketenangan. Kuman-kuman hasad dengki, takbur, gila dunia, bakhil, riak dan lain-lain itu mengerumuni hatinya yang kian memusnahkan kemurnian kemanusiaan dan pasti tidak membenarkan hati manusia itu tenang dan diam. Kejahatan-kejahatan ini akan sentiasa menggigit hati nurani manusia sehingga hati itu sentiasa sakit. Sudah kayapun masih tidak puas apatah lagi kalau miskin, sudah berpengikut pun masih tidak puas apatah lagi kalau keseorangan. Sudah disanjung pun masih tidak puas apatah lagi kalau dihina. Di dalam kubur nanti, kuman-kuman itu akan menjelma menjadi ular dan kala jengking yang menggigit dan mengunyah sekujur tubuh kita.

Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan mengakui kehambaan, kekurangan dan kelemahan ke hadrat Tuhan, mengaku berdosa lahir dan batin, takut dengan kebesaran, kekuasaan dan hukum Tuhan, mengharapkan kebahagiaan di akhirat dengan melupakan penderitaan di dunia, berkasih sayang sesama manusia dan ikhlas beramal semata-mata kerana Allah. Kebahagiaan di dunia ialah melalui ketenangan hati. Namun hakikatnya adalah mengenal hati dan diri sendiri amatlah susah. Para pengkaji psikologi Amerika cuba mengkaji tentang kebijaksanaan emosi (Emotional Intelligence) yang telah diaplikasikan di zaman lampau. Kalau hati dan diri sendiri pun susah kita kenal, apatah lagi untuk mengubatinya. Juga, lebih-lebih lagi untuk mengenal orang lain dan mengubatinya. Kejayaan orang dahulu disebabkan kejayaan mereka mengubati penyakit diri sendiri. Tidak seperti aku yang belum kenal diri sendiri dan belum dapat mengubati penyakit hati sendiri. Semoga Tuhan sentiasa memimpin kita agar kita mengenali diri dan penyakit sendiri serta mampu mengubatinya. Inilah hakikat sebuah kehidupan dan jika penulisan ini dilihat sebagai amalku, maka pahalanya kuhadiahkan kepada ibu bapaku, guru-guruku yang telah mendidik aku dan mereka yang telah pernah berjasa kepadaku serta mereka yang pernah mencerca di belakangku.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.
You must be logged in to post a comment.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.