Hati

Di akhir zaman ini rasa kehambaan dalam hati hamba-hamba Allah kurang sekali. Hati mereka jadi keras seperti batu. Allah menggambarkan ini dengan firman-Nya:

Kemudian setelah itu hati kamu menjadi keras seperti batu atau lebih keras lagi

Mereka bukan lagi memuja Allah tetapi memuja diri (nafsu) sendiri. Hidup di tengah-tengah gelombang nafsu ego dan rakus, hasad dengki, gila dunia, dendam dan bakhil, riak, ujub dan 1001 macam lagi kejahatan lahir dan batin, manusia bukan sahaja tidak dapat memberi ketenangan pada masyarakat sekitarnya bahkan diri dan keluarga sendiri pun mereka gagal meletakkan dalam keadaan tenang.

Kuman-kuman hasad dengki, takbur, gila dunia, bakhil, riak dan lain-lain itu penuh mengerumuni hatinya. Ianya kian memunah-ranahkan kemurnian kemanusiaannya dan pasti tidak akan membenarkan hati manusia itu tenang dan diam. Kejahatan-kejahatan ini akan sentiasa menggigit hati nurani manusia hingga hati itu sentiasa sakit. Sudah kaya tidak puas apalagi kalau miskin. Sudah berpengikut tidak puas apalagi kalau keseorangan. Sudah sihat tidak puas apalagi kalau sakit. Sudah disanjung tidak puas, apalagi kalau dihina.

Di dalam kubur nanti, kuman-kuman itu akan menjelma menjadi ular dan kala yang menggigit dan mengunyah sekujur tubuh manusia hingga di akhirat mereka akan menyerupai api yang akan membakar dan membaham lahir dan batin dirinya. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan mengakui kehambaan, kekurangan dan kelemahan ke hadrat Allah yang Maha Tinggi. Mengaku berdosa lahir dan batin, takut dengan kebesaran, kekuasaan dan hukum Allah, mengharapkan kebahagiaan akhirat dan melupakan penderitaan dunia, berkasih-sayang sesama manusia, zuhud terhadap dunia, ikhlas beramal semata-mata kerana Allah dan lain-lain lagi (seperti yang dinyatakan di dalam buku Ashaari Muhammad, 1991).

Kebahagiaan di dunia ialah ketenangan hati. Dan hati-hati yang tenang ialah hati-hati yang selamat dari kejahatan-kejahatannya.

Pada hari manusia meninggalkan dunia ini tidak berguna harta dan anak-anak, kecuali mereka yang datang menghadap Allah membawa hati yang selamat. Asy-syura’: 88-89

Betapa susahnya mengenal hati dan diri sendiri. Dan kalau kita kenal pun betapa susah untuk mengubatinya, hingga dapat kita letak hati pada fungsinya kerana nafsu dan syaitan akan menghalang kita dengan keindahan dunia serta nikmatnya yang mempersona. Kalau hati dan diri kita sendiri susah kita kenal, lebih-lebih lagi untuk mengubatinya, maka lebih lagilah susahnya untuk mengenal orang lain dan untuk mengubatinya.

Kejayaan pemimpin-pemimpin terdahulu, berjaya mengubati penyakit masyarakat adalah kerana berjayanya mereka mengubati penyakit diri sendiri. Di sinilah kelebihan dan keutamaan mereka dari kita. Sama ada ulama-ulama, mubaligh-mubaligh, penulis-penulis Islam, para pemimpin masyarakat Islam belum kenal diri sendiri dan belum dapat mengubati penyakit diri sendiri. Dengan sebab itulah penyakit-penyakit masyarakat payah diubat bahkan adakalanya penyakit masyarakat itu bertambah tenat disebabkan penyakit diri mereka sendiri. Berdoa dan berusahalah agar Tuhan sentiasa memimpin kita untuk mengenali diri dan penyakit hati kita sendiri supaya setiap hati jadi bersih.

Hasil nukilan Allahyarham Ashaari Muhammad melalui buku cetakan ke-12, 1991, Dari Hati ke Hati. Tujuan perkongsian adalah untuk penyebaran ilmu semata-mata bukan kerana kemashuran. Wallahua’lam.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.
You must be logged in to post a comment.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.