Seimbang

Terdapat dua perkara utama yang perlu diambilkira dalam hidup; perkara yang dapat dilihat dengan mata kasar dan perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dalam Islam, perkara lahiriah disebut syariat. Perkara batin disebut hakikat. Untuk membezakan antara keduanya; jasad lahir ialah semua anggota kita yang nampak dengan mata kasar. Manakala jasad batin ialah jasad ghaib yang menggerakkan seluruh anggota lahir yang boleh berfikir, merasa, mengingat, mengetahui, memahami dan apa sahaja yang kita miliki di dalam diri masing-masing (yang lebih dikenali sebagai roh).

Kedua-duanya sama penting; kalau kita menolak salah satu dari amalan ini, kita tidak mungkin menjadi hamba Allah yang sebenar kerana Islam memandang syariat itu sebagai kulit, manakala hakikat itu adalah intipati.
Berkata Imam Malik:
Barangsiapa berfiqah (syariat) dan tidak bertasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barangsiapa yang bertasawuf (hakikat) tanpa feqah (syariat) maka ia adalah kafir zindik.
Begitulah kepentingan kedua-duanya, namun dalam keduanya itu, hakikatlah yang lebih utama. Sabda Rasulullah: Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi dia memandang hati dan amalan kamu.

Ini kerana peranan hakikat amat besar kerana ia adalah penentu kepada berakhlak atau tidaknya seseorang manusia kepada Allah dan sesama manusia. Orang yang tinggi tasawwufnya (hakikat) adalah orang yang hatinya hampir dengan Allah, sentiasa merasakan kebesaran Allah, sedang dirinya dirasakan lemah dan sentiasa memerlukan pertolongan Allah, sangat beradab dan adalah seorang yang mampu mengasihi semua manusia serta bersedia untuk susah demi manusia.

Orang yang tidak berhakikat (sekalipun sembahyangnya banyak, puasa, baca Quran dan gigih berjuang) adalah orang yang kurang berakhlak dengan Allah dan kurang berakhlak dengan manusia. Kekurangan pada amalan batin inilah yang menjadikan orang-orang yang tidak berhakikat itu selalunya mati dalam dosa yang tidak disedari. Mungkin dosa kerana buruk sangka dengan Allah, putus asa dengan ketentuan Allah, tidak redha dengan takdir Allah dan dosa kerana merasakan amalan lahiriahnyalah yang bakal menyelamatkan dirinya dari neraka Allah.

Rasa riak, ujub atau rasa diri bersih itu adalah dosa batin yang tiada siapa yang nampak, bahkan empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ulama tasawuf berkata: Biarlah sedikit amalan beserta rasa takut pada Allah, kerana itu lebih baik daripada banyak amalan tetapi tiada rasa takut dengan Allah. Lebih baik orang yang merasa berdosa dan bersalah dengan Allah daripada orang yang banyak amalan tetapi tidak rasa berdosa pada Allah bahkan dia merasa tenang dengan amalan itu.

Firman Allah: Hari kiamat ialah hari di mana harta dan anak-anak tidak dapat memberi manfaat, kecuali mereka yang mengadap Allah, membawa hati yang selamat sejahtera. Hati yang selamat sejahtera ialah hati yang bertaqwa yang berisi iman, yakin, ikhlas, redha, sabar, syukur, tawakal, takut dan sentiasa mengharap kepada Allah. Hati itu akan merasa sihat dalam sakit, ramai dalam keseorangan, lapang dalam kesempitan dan terhibur dengan apa sahaja ujian hidup kerana mereka bersikap redha dengan apa sahaja pemberian Tuhannya setelah mereka berusaha.

Untuk memperolehi hati yang begini, kita mesti bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu untuk melakukan amalan lahir dan batin (syariat dan hakikat). Syariat dan hakikat akan mendidik dan memimpin kita menjadi seorang insan yang mampu memenuhi keperluan fitrah. Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang (hamba-hamba yang baik) itu ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan. Keseimbangan di antara syariat dan hakikat akan menjadikan seseorang itu bahagia dan mampu membahagiakan orang lain. Isteri yang ingin membahagiakan suami, suami yang ingin membahagiakan isteri, anak yang ingin membahagiakan ibubapa, pelajar yang ingin membahagiakan guru dan sebagainya.

Janganlah kita tergolong di antara orang-orang yang berpakaian litup tetapi menyakiti saudara seislam sendiri dengan kata-kata sindiran, jelingan tajam dan raut wajah kebencian terhadap mereka yang belum mendapat hidayah ataupun menjadi orang yang berpakaian seksi dan berbangga dengan firman Allah yang melihat manusia melalui hati bukan pada pakaian. Sesungguhnya, berpada-padalah dalam segala perkara kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Reference: Ashaari, 1991

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.
You must be logged in to post a comment.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.